Baru-baru ini seorang wanita menulis di laman Twitternya meminta
dijauhkan daripada mendapat suami orang pantai timur, terutama dari
Kelantan kerana dikatakan berperangai pelik.
Untuk lebih jelas, ini yang ditulis wanita itu: “Mintak2
dijauhkan la drpd calon suami orang pantai timur ni esp kelantan...tak
suka la orang Kelantan ni... pelik2.” Lalu, Twitter berkenaan tersebar
di laman sosial Facebook, malah boleh dilihat sehingga kini.
Kata seorang rakan, bijak sungguh wanita itu dan akibat kebijaksanaannya
berbakul kata makian diterimanya. Katanya lagi dalam loghat Kelantan,
“Mu ingak mu comel sangak...huduh...huduh..huduh” sambil menggayakan
babak Jani memarahi Shima dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing.
Apakah yang cuba dilakukan wanita itu dengan berbuat sesuatu yang
terangan-terangan mampu menimbulkan kemarahan orang lain? Adakah mahu
menambah lagi garam di luka? Semai kebencian. Penulis katakan
demikian kerana sebelum ini, banyak tampalan sama ada di Facebook atau
laman web tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyemai
kebencian kepada orang Kelantan.
Tidak perlulah dinyatakan
di sini apa yang tidak disukai pihak berkenaan sehingga ‘ringan tulang’
menulis yang bukan-bukan mengenai orang Kelantan.
Hakikat
yang perlu diakui, mana-mana negeri ada penduduknya yang berperangai
tidak senonoh, ini tak kena dan itu tak kena dan bukannya hanya orang
Kelantan. Bagaimanapun, tidak perlulah meluahkannya di alam siber yang
boleh mengundang kemarahan.
Zaman sudah berubah dan orang
Kelantan tidak seperti dulu. Mengambil contoh bola sepak, orang Kelantan
akan menjadi mangsa tuduhan dengan ungkapan “kalau kalah, mesti nak
gaduh...kalau kalah, mesti pecah memecah”. Tidak adil untuk terus
mengungkit peristiwa rusuhan di Stadium Sultan Muhammad IV pada April
2009 kerana perbuatan itu dilakukan hanya segelintir penyokong dan
bukannya semua orang Kelantan.
Kembali meriah bola sepak
.
Penyokong bola sepak Kelantan kini semakin matang dan
bertanggungjawab, malah mereka boleh diibaratkan tulang belakang yang
menghidupkan kembali suasana meriah bola sepak di negara ini.
Tidak perlu takut untuk duduk bersama mereka jika menonton bola,
walaupun anda penyokong dan memakai jersi negeri anda. Minat terhadap
bola sepak pada diri penulis juga kembali membara ketika ditukarkan ke
negeri ini pada Mac 2011. Atmosfera bola sepak di negeri ini memang
memberi impak, itu belum lagi jika The Red Warriors melangkah ke final
Piala Malaysia atau Piala FA.
Jika ada yang mengatakan
orang Kelantan masih kuat semangat kenegerian, mengapa pula hendak
dipersoalkan? Orang Jawa seperti penulis juga ada semangat Jawa, jika
bertemu orang Jawa, seboleh-bolehnya mahu bercakap Jawa.
Penulis bukan orang Kelantan dan bukannya mahu mengangkat orang
Kelantan. Apa yang penulis hendak sampaikan, tidak kiralah orang
Kelantan, orang Jawa, orang Bugis, orang Banjar, orang KL, orang utara,
masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.
Perbuatan
mencetuskan sentimen kebencian terhadap penduduk negeri lain, apatah
lagi di alam siber perlu dihentikan supaya tidak menjadi ikutan. Jangan
jadi seperti watak Dollah Jin, juga dalam telefilem Sebuah Piala Seekor
Kambing yang menjadi ‘kepalo pengat’ (individu paling samseng dalam
kumpulan) dan gemar ‘bergocoh’ (bergaduh) dengan membayangkan dirinya
Tony Jaa.
Penulis Ketua Biro Harian Metro Kelantan
sumber : harian metro
p/s : tak faham aku. orang NEGERI LAIN pon gaduh2 jugak. perangai macam haraaamm jugak. tak hade pulak korangg kutuk? huu.
0 comments:
Post a Comment